Isnin, Januari 04, 2010

MENGHAYATI KEINDAHAN DAN KEAJAIBAN CIPTAAN TUHAN

Banyak masa habis hari ini dengan membelek gambar di Astronomy Picture Of The Day.. Menghayati keindahan ciptaan Allah mengajar saya mengenali diri. Belajar mendidik hati dan membawanya untuk sama-sama kita memahami bahawa sesungguhnya sebelum waktu terhenti dan bintang-bintang bertaburan masih ada waktu yang sedikit untuk kita melakukan perubahan dan perjuangan di dalam redha Allah.

"Dan Dialah menciptakan langit dan bumi dengan benar. Dan benarlah perkataanNya diwaktu Dia menyatakan, Jadilah lalu terjadilah', dan di tanganNyalah segala kekuasaaan diwaktu sangkakala ditiup. Dia mengetahui yang ghaib dan yang nampak. Dan Dialah yang Maha Bijaksana lagi Maha Mengetahui" Al- Anaam: 73


"Kemudian Dia menuju kepada penciptaan langit dan langit itu masih merupakan asap lalu Dia berkata kepadaNya dan bumi, Datanglah kamu keduanya menurut perintahKu dengan suka hati atau terpaksa keduanya menjawab 'kami datang dengan suka hati' Maka Dia menjadikan tujuh langit dalam masa dua masa dan Dia mewahyukan pada tiap-tiap langit urusannya. Dan kami hiasi langit yang dekat dengan bintang yang cemerlang dan Kami perliharanya dengan sebaik-baiknya. Demikianlah ketentuan yang Maha Perkasa lagi Maha Mengetahui." Fushilat: 11-12







“Matahari berjalan di tempat yang ditetapkan baginya. Demikianlah Allah Yang Maha Gagah Lagi Maha Mengetahui. Sedangkan bulan kami tentukan baginya tempat yang tertentu sehingga ia kembali berbentuk seperti pelepah kurma yang kering (bulan sabit). Tiadalah matahari mendekati bulan dan tidak pula malam mendahului siang sedang semuanya beredar pada garis edarannya (orbit).” (Yassin : 38-40)

Ahad, Januari 03, 2010

GERBANG YANG TERCALAR

Melayu Mudah Lupa? Satu ungkapan yang menjengkelkan atau satu kebenaran yang selalu kita cuba nafikan disebabkan keegoan bersabit dengan lemahnya pendirian kita yang sentiasa memberi ruang untuk diperlekehkan. Sebenarnya melayu selalu lupa. Kita mudah leka walau ditiup sepoi angin. Baru setapak melangkah melepasi gerbang 2010 dengan sewenang-wenangnya akidah kita sebagai orang islam khususnya diperkotak-katikan.

Janganlah 'Sudah Terhantuk Baru Ternadah'. Kita bangsa yang berdaulat...tapi di mana letaknya kedaulatan yang selalu kita bangga-banggakan. Adakah sekadar kaya dengan falsafah dan peribahasa? sedangkan kita masih terlalu lemah dari segala segi.

"Ashhadu'allah ila haillallah, wa ashhadu 'anna muhammadar rasulullah" membawa erti: "aku naik saksi bahawa TIADA TUHAN yang disembah melainkan ALLAH dan nabi Muhammad itu pesuruh Allah". Syahadah ini hanya dilafazkan oleh penganut agama tauhid - Islam, kerana orang Islam tidak menyembah tuhan melainkan Allah swt. Persoalannya, adakah Allah swt yang kita sembah selaku umat Islam ini sama dengan tuhan yang disembah penganut agama Kristian - trinity? Iaitu tuhan dari "Father, Son and Holy Spirit"?


Jumaat, Januari 01, 2010

BERSATU TEGUH BERCERAI ROBOH

Salam Tahun baru buat semua sahabat seperjuangan..Tahun baru membawa azam baru dan nekad baru. Namun yang pastinya ikatan ukhuwah biarlah berterusan. Kadang kala ada kata-kata yang tidak terucap dan ada tafsiran yang tidak terungkap. Ada kalanya pula sekeping gambar mampu menterjemahkan apa yang tersirat dan tersurat.

Susah Senang Bersama
Teringat sebuah puisi klise di awal pembabitan saya di penyair. Membacanya semula membuatkan saya terfikir bahawa saya menulis seadanya sahaja mengikut apa yang saya lihat dan saya ingin perjelaskan. Dewasa ini ketika menatapnya semula saya senyum sendiri mengakui bertapa kerdilnya saya untuk selaut ilmu yang Allah kurniakan. Dalam hati saya tetap ingin menerapkan gagasan kasih sayang di dalam setiap medan perjuangan tanpa sempadan.


Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing



IKHLAS

Hati usah gementar bibir jangan bergetar

jantung usah berdebar, mata jangan tersasar
telinga usah curi dengar

bila teringin bersahabat dan berjabat
hati mesti bening jernih, tanpa menghimpun hasad

bibir manis memikat, menyimpul tulus yang berkat

jantung tenang menghambat, tidak meruntun kalut keladak

mata redup pandangan santun menggaris sopan

telinga berlagaklah tuli menolak angin yang tak pasti


cantik bayang makrifat berhias di cermin diri

terpancar nur di wajah, tudungnya akal dan budi


Ckbayu
03/04/2007


Hari ini saya sedikit gundah dengan kesihatan ibu yang tidak berapa memuaskan. Semoga Allah menitipkan sedikit kekuatan buatnya. Amin..